PTG Perak Dalam Usaha Tambah Baik Kualiti Perkhidmatan – MB Perak

IPOH, 4 Nov – Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak sedang dalam usaha menambah baik kualiti perkhidmatan agensi kerajaan itu, bagi mengatasi masalah kesesakan di kaunter perkhidmatan dan urusan yang tertunggak, kata Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata pada masa ini, perkara itu berlaku disebabkan kekurangan kakitangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, serta terdapat kakitangan yang positif COVID-19.

“Semalam, masalah itu sudah dibangkitkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri dan kita mengambil maklum rungutan mengenai masalah itu. Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah PTG Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip, sudah pun mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada K. Kamalanathan, 63, iaitu bekas pemandu kepada bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Tajol Rosli di kediamannya di Desa Sri Wang, Lahat di sini hari ini sempena Hari Deepavali.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan penghantar surat firma guaman meminta PTG negeri memansuhkan sistem yang digunakan, yang memaksa mereka beratur pada waktu tidak bersesuaian untuk mendapatkan nombor janji temu.

Laporan itu memetik kebanyakan penghantar surat firma guaman itu mendakwa sistem itu hanya membenarkan 30 penghantar dan 300 dokumen diproses dalam tempoh sehari, sehingga mengakibatkan banyak kes ditangguhkan.

Saarani berkata pihaknya memahami masalah yang dihadapi penghantar surat berkenaan, namun pada masa sama beliau berharap mereka juga memahami kekangan kakitangan yang terpaksa dihadapi agensi kerajaan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.