PRN Melaka Medan Tampilkan Perubahan – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 4 Nov – “Kita sewajarnya lebih matang dalam mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 kali ini kerana sudah sampai masanya kita berani mengetengahkan calon dan muka baharu dalam PRN kali ini,” demikian pandangan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan.

Namun pada masa yang sama beliau menegaskan tidak bermakna parti menidakkan “orang lama” atau sumbangan ‘senior’, tetapi rakyat pada hari ini mahukan sesuatu yang baharu, segar, dinamik dan lain-lain.

“Jika kita masih begitu-begitu juga dan orang-orang itu juga yang dipilih, maka kita tidak melakukan perubahan apa-apa kerana dogma dan stigma cara berfikir dan bertindak ‘style’ lama.

“Kita cari dan beri peluang kepada calon muda yang progresif, berani dan kreatif untuk melakar dan mencorakkan pentadbiran baru serta ‘style’ baharu politik.

“Kita juga harus ingat, PRN Melaka kali ini mungkin menjadi ‘masterpiece’ kepada PRU-15 yang akan datang. Walaupun jumlah pengundi PRN Melaka kali ini hanya setengah juta (495,196) namun keputusan PRN Melaka 2021 ini menjadi model dan cerminan keputusan PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO Online.

Beliau seterusnya menambah meletakkan calon muka baharu bukan eksperimen atau cuba-cuba dan inilah yang dapat dan ditunjukkan selama beberapa tahun selepas PRU-14.

“Maka, jika kita mengikut arus dan kehendak zaman, sewajarnya kita memberi peluang kepada muka-muka baru ini mencorakkan PRN Melaka 2021. Kita tunggu dan lihat hasilnya untuk tindakan dan mengatur pula strategi PRU-15 kelak,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit