Dap, PKR Kononnya Bawa Reformasi, Tapi Asyik Muka Yang Sama – Shabery

KUALA LUMPUR, 4 Nov – UMNO sentiasa mendokong perubahan dalam kepimpinan parti bagi membawa nafas baharu termasuk agenda perjuangan membela nasib rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menurutnya, berbeza dengan parti lain yang menyaksikan muka sama yang berada di tampok tertinggi parti meskipun mereka sebelum ini kononnya mahu membawa perubahan kepada negara.

“UMNO merupakan sebuah parti yang paling banyak menukarkan kepimpinan sehinggakan kini sudah ada tujuh presiden.

“Mana ada parti yang banyak berubah daripada zaman Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak… jelas UMNO paling banyak berubah, jadi jangan kata UMNO tidak berubah

“Kalau kita tengok parti lain seperti Dap, PKR. Konon sebut sangat reform tapi muka sama sahaja… Perdana Menteri pun orang yang sama. UMNO paling banyak perubahan pucuk pimpinan kerana UMNO sentiasa bertindak balas terhadap kemahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Gegau Melaka: PRN Melaka BN Bergerak Solo’ yang disiarkan melalui Facebook UMNO Online, malam tadi.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka beliau berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan manifesto yang terlalu ghairah seperti yang dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 yang lalu.

“Manifestonya tidak besar tetapi ianya mesti boleh dilaksanakan… jangan la janji macam dahulu hapuskan tol, hapus Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), lapangan terbang lagi besar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk di Melaka.

“Setakat ini kalau boleh saya katakan BN tak perlu manifesto sebab kami sudah buat yang lama dan hendak teruskannya, cuma perbaiki kelemahan-kelemahan yang lepas dan tambah sedikit yang baru tetapi memenuhi keperluan dan tuntutan rakyat,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.