RKMAT: 8,852 Unit Khusus Bagi Warga ATM – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Kerajaan akan membina kira-kira 10,200 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) dan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 8,852 unit khusus untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi perancangan lima tahun.

“1,509 unit RKMAT sudahpun dalam proses pembinaan, manakala 7,343 unit lagi sedang dalam proses perolehan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) hari ini.

Beliau berkata dengan perasmian 2,000 unit RKMAT hari ini, ia telah memenuhi 85 peratus keperluan anggota ATM di Lembah Klang.

Ismail Sabri berkata kesemua 2,000 unit berkenaan yang mempunyai tiga bilik dengan keluasan 850 kaki persegi serta dilengkapi perabot, diperuntukkan untuk anggota Tentera Darat Malaysia terdiri daripada pelbagai pangkat.

Selain itu, beliau berkata projek perumahan itu turut dilengkapi perkakas elektrik dan fasiliti riadah serta sosial seperti dewan serba guna, gimnasium, surau dan unit kedai.

Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata bagi pembinaan rumah itu akan berterusan sehingga akhir Disember ini.

“Fasa akhir Disember ini, 2,000 keluarga akan mula masuk (pindah). Ia dibina Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui anak syarikatnya Perbadanan Perwira Harta Malaysia. Kementerian Pertahanan membeli keseluruhan projek ini kerana ini konsep baru yang kita perkenalkan iaitu membeli dan bukannya membina.

“Kalau dulu kita dalam konsep pembinaan. Selepas siap bina, kita masuk namun banyak juga kes projek itu terlewat atau terbengkalai membuatkan kita tak mampu untuk memindah anggota kita,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran itu.

Ismail Sabri berkata unit perumahan yang terletak di kawasan Bukit Jalil serta mempunyai empat blok pangsapuri 38 tingkat itu menempatkan para pegawai sehingga tempoh bersara kelak.

Dalam pada itu, rata-rata anggota tentera yang menduduki RKMAT mengucapkan terima kasih dan gembira dengan perumahan serba moden itu.

Menzahirkan rasa puas hati, Koperal R. Salvam berkata perumahan itu amat sesuai dengan beliau yang sudah berkeluarga memandangkan ia dilengkapi fasiliti yang serba lengkap serta lokasi yang strategik.

“Saya memang sangat berpuas hati dengan keadaan rumah yang dilengkapi peralatan rumah. Ia menyenangkan pegawai yang akan berpindah suatu hari nanti,” katanya.

Selain itu, Koperal Christina Clinie Anak Bonsu berkata keluasan unit itu memberi keselesaan kepada beliau yang akan mendiami tempat itu bersama suami dan anak kecilnya berusia setahun.

“Ini satu rezeki buat saya. Peti sejuk, oven, semua ada. Saya sudah berkeluarga dan akan duduk bersama suami dan anak saya,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.