Laksanakan Formula ‘3 J’ Menangi Hati Anak Muda – Shahrol Shiro

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Selebriti tanah air, Shahrol Shiro yang kini bergiat aktif dalam UMNO mengutarakan formula ‘3 J’ yang wajib parti lalukan untuk memenangi hati anak muda.

Menurut Shahrol Azizie Azmi, pemilik nama sebenar salah seorang anggota kumpulan Shiro juara Maharaja Lawak Mega 2018 itu berkata, ‘J’ yang pertama ialah ‘Jangan sombong’.

“Dari pemimpin hingga ahli biasa pergerakkan kita sentiasa diperhati rakyat. Tunjukkan contoh yang baik buat mereka dan berikan khidmat bakti jika diminta.

“’J’ kedua ‘Jadi inklusif bukan eksklusif’. Apa guna takwim program penuh dalam setahun tetapi cuma sesama ahli sedangkan punca kuasa kita adalah dari rakyat. Jika ada yang berbeza pendapat dan kritik kita harus raikan agar sebuah titik pertemuan dijumpai,” ujar Penolong Bendahari Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya ulasnya lagi, ‘J’ yang ketiga ialah ‘Jauhi mengeluarkan ayat retorik’.

“Anak muda dah muak mendengar ayat-ayat penyedap kuping telinga. Buktikan dengan gerak kerja dan perlaksanaan. Kurangkan bercakap banyakkan bekerja,” kata pelawak, pelakon dan pengacara terkenal itu lagi.

Shahrol juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada barisan kepimpinan Pemuda bahagiannya yang membawa pemuda hari ini dengan baik dan bertungkus lumus bekerja agar UMNO terus bangkit.

Begitu juga Shahrol meminta maaf jika tegurannya menimbulkan perasaan tidak selesa kepada beberapa pihak.

“Teguran dan peringatan ini untuk diri saya juga. Sesungguhnya niat saya ingin melihat parti ini bangkit dan memberi manfaat buat semua,” katanya.

Dalam statusnya yang terdahulu, Shahrol yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Hospital turut mengalu-alukan kemasukan 33 anak muda yang menyertai UMNO ketika mengadakan mesyuarat cawangannya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.