Deepavali Simbolik Muafakat, Perkukuhkan Perpaduan Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Sempena sambutan perayaan Deepavali pada esok, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat Malaysia untuk mengimbau kembali kemakmuran hidup rakyat pelbagai kaum yang pernah terbentuk hasil kesepakatan bersama.

Beliau juga berharap Deepavali kali ini sebagai cahaya untuk memperkukuhkan perpaduan dan kemuafakatan yang sudah terjalin sejak sekian lama.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan Deepavali kepada seluruh anggota masyarakat Malaysia beragama Hindu.

“Semoga Deepavali 2021 menyinari semula apa yang kita pernah terlepas, terlupa atau terleka kepada kebaikan bersama suatu ketika dulu.

“Semangat Deepavali membawa kebaikkan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga mengingatkan bahawa dalam keseronokkan menyambut Deepavali jangan melupakan kepada bahaya pandemik COVID-19 yang masih menular.

“Sentiasalah mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) walau di mana anda berada semasa perayaan Deepavali tahun ini,” ujar beliau. – UMNO Online