Bajet 2022: Hasrat Bantu Rakyat Tercapai Melalui Bantuan Keluarga Malaysia – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pada bajet 2022 ini terdapat tawaran yang menarik untuk Negeri Melaka.

Katanya, tawaran yang bakal diterima oleh rakyat negeri Melaka terutamanya golongan B40 yang bakal menerima bantuan tunai yang dikenali Bantuan Keluarga Malaysia.

“Saya dapati RM412 juta diberikan kepada rakyat Melaka terutamanya B40 pada tahun ini dalam bentuk bantuan tunai atas pelbagai nama seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan akan dinamakan sebagai bantuan Keluarga Malaysia.

“Bantuan Keluarga Malaysia ini adalah hasrat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk memberikan RM2,000 kepada keluarga yang memerlukan semasa beliau menjawat jawatan itu dan akhirnya tercapai apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Gegau Melaka: Bajet 2022, Melaka Ujian Awal’ yang disiarkan oleh Facebook UMNO Online, malam tadi.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah pada Bajet 2022, seluruh rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan kurang RM2,500 bakal menerima bantuan tersebut.

Malah orang bujang, ibu tunggal dan warga emas pun bakal menerima bantuan dari Keluar gMalaysia, katanya lagi.

“Seluruh rakyat Malaysia termasuk di Melaka yang pendapatannya di bawah RM2,500 sama ada mempunyai anak lebih dari tiga orang maka akan menerima RM2,000 pada tahun hadapan.

“Bagi orang bujang akan menerima RM350, pesara kerajaan akan mendapat RM350, penjawat awam RM700, imam/bilal mendapat RM700, ibu tunggal dan warga emas akan menerima RM300.

“Banyak betul bantuan-bantuan diberikan pada rakyat Malaysia termasuk rakyat Melaka pada tahun hadapan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.