224 Cawangan UMNO Beaufort Tetap Kukuh, Sedia Depani Cabaran PRU-15 – Awang Aslee

BEAUFORT, 3 Nov – Kewujudan 224 Cawangan UMNO Bahagian Beaufort tanpa ada mana-mana yang dibubarkan walaupun selepas berlakunya rentas parti pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu yang menunjukkan bahawa bahagian terbabit terus kukuh.

Sehubungan itu, ketua bahagiannya Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa UMNO mengambil pendirian akan meletakkan calon dari parti itu pada PRU ke-15 akan datang.

“Tidak ada sebab bagi UMNO tidak meletakan calon pada PRU akan datang memandangkan kawasan itu sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh UMNO.

“Hanya bila berlakunya rentas parti oleh Ahli Parlimenya tanpa persetujuan sepenuhnya dari ahli-ahli UMNO Bahagian itu, dengan mudah kawasan tersebut di beralih kepada parti lain tanpa persetujuan ahli-ahli di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok bagi daerah mengundi Melabau, di sini, kemarin.

Menurut Awang Aslee walaupun berlaku rentas parti, UMNO bahagian Beaufort masih wujud dan tidak ada cawangan yang dibubarkan yang melambangkan struktur UMNO khususnya di bahagian itu masih kukuh.

“Cawangan UMNO di sini terdapat lebih dari masih berfungsi seperti biasa dan bersiap sedia bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

“Saya yakin ahli-ahli yang ada adalah mereka yang setia kepada prinsip perjuangan dan tidak ada sebab bagi kita melepaskan kawasan ini untuk diwakili oleh UMNO pada PRU akan datang,” jelas Awang Aslee

Mengulas perjalanan mesyuarat cawangan-cawangan yang sedang berlangsung di bahagian itu, Awang Aslee berkata momentum dan sambutan ahli-ahli UMNO masih di tahap yang tinggi, malah kehadiran mereka ke mesyuarat cawangan-cawangan begitu menggalakkan walaupun melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.

“Saya yakin semangat dan kesetiaan mereka kepada parti masih kukuh malah ada ahli-ahli baharu yang berminat menyertai perjuangan UMNO,” katanya.

Pada majlis tersebut Awang Aslee turut menerima 49 ahli baharu UMNO dari daerah mengundi Takuli.

Hadir sama di majlis tersebut Timbalan Ketua UMNO yang juga Ketua wanita UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching; Naib Ketua UMNO Bahagian, Awang Damit Jion dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Abdullah Satar. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.