Realitikan Khidmat Bakti Bersama Rakyat, Puteri UMNO Tawau Cakna Keperluan Komuniti

TAWAU, 2 Nov – UMNO merealitikan hasrat sentiasa bersama rakyat dalam apa-apa juga keadaan khususnya mendepani pandemik COVID-19 yang masih menular biarpun angkanya semakin berkurangan dari semasa ke semasa.

Dalam hal ini, Pergerakan Puteri UMNO Tawau telah mengaktifkan gerak kerja dengan turun padang melalui pelaksanaan program pemberian kit sanitasi kepada masyarakat setempat khususnya di masjid-masijid dan surau lantaran antara kawasan awam yang menjadi tumpuan.

Ketuanya, Julisah Mohamad Isah memaklumkan bahawa Puteri UMNO sentiasa cakna terhadap keperluan komuniti setempat khususnya bagi mengekang penularan COVID-19.

“Sememangnya Puteri UMNO amat komited melaksanakan khidmat bakti demi kelangsungan perjuangan dalam memastikan agama, bangsa dan negara kita tetap aman sejahtera dari dulu, kini dan selamanya.

“Kami adalah golongan muda yang aktif dalam memastikan rakyat memainkan peranan bersama-sama bagi mengutamakan kesihatan apatah lagi kawasan Tawau ini pernah dikategorikan sebagai zon merah.

“Keperitan melalui tempoh berkurung semasa PKPD lalu bukanlah sesuatu yang mudah maka kerana itu kita lakukan pencegahan dengan mengedarkan sanitasi kit untuk pemeriksaan kendiri agar jangkitan dan penularan tidak berlaku lagi,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, Julisah bersama jentera Puteri UMNO Tawau berkunjung ke Masjid Sri Ranggu untuk pemberian kit sanitasi yang diterima oleh Timbalan Pengerusinya, Hamdan Guang.

Turut diagihkan ialah sebuah kanopi bagi kegunaan pengurusan di tanah perkuburan Kampung Ranggu yang diterima oleh Saddam Hussin selaku wakil dari pengurusan perkuburan kampung terbabit. Di samping itu, Surau Al-Naim di kampung yang sama turut menerima agihan sanitasi kit tersebut.

Tidak habis di situ, anggota Puteri UMNO Tawau meneruskan sumbangan dengan hasrat mengaplikasi keselamatan dan kesihatan dalam masyarakat ke Masjid Al-Iman di Kampung Serudong Baru, Masjid Nurul Awal di Kampung Sungai Apas, Masjid Nurul Huda di Kampung Jawa Wakuba dan Masjid Al-Ikhlas di Kampung Rawa-rawa.

“Kami berharap agar pemberian kit ini akan membantu memudahkan kerja sanitasi di samping memberi kesedaran kepada para penduduk untuk sentiasa mengutamakan keselamatan, kebersihan dan kesihatan,” ujar Julisah.

Dalam masa yang sama beliau melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada anggota parti dan jentera Puteri UMNO Tawau yang sentiasa komited melaksanakan perjuangan dan khidmat kepada rakyat.

“Alhamdulillah program yang diatur berjalan lancar dan mendapat kerjasama yang sangat baik dari kalangan pemimpin masayarakat setempat. Terima kasih pada semua dan insya-Allah kami Puteri UMNO Tawau akan meneruskan gerak kerja demi kesejahteraan masyarakat bersama,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.