Projek Naik Taraf Sekolah Daif Di Sabah Dilaksana Oleh JKR Negeri

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Projek menaik taraf dan membangun semula bangunan sekolah daif di Sabah hanya akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata ia berikutan keupayaan dan kepakaran teknikal di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri itu adalah terhad.

“Pada masa ini, jumlah perjawatan teknikal di JPN dan PPD tidak memenuhi keperluan disiplin kejuruteraan yang utama iaitu kejuruteraan awam dan struktur, kejuruteraan mekanikal dan elektrikal, arkitek dan ukur bahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang ingin tahu sama ada kelulusan boleh diberi kepada JPN dan seterusnya JPN Daerah Tawau untuk melaksanakan penggantian bangunan sekolah daif di kawasan Parlimen Kalabakan.

Mohamad berkata menurut Arahan Perbendaharaan 182 (AP182) kementerian atau jabatan bukan teknik perlu mendapatkan perkhidmatan daripada jabatan teknik untuk melaksanakan semua projek kerja tertakluk kepada peraturan yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.

“Sekiranya kementerian atau jabatan ingin melaksanakan sendiri projek kerja itu, kelulusan khas pengecualian AP182 daripada Ketua Pengarah jabatan teknik berkaitan perlu diperoleh,” katanya.

Bagi menjawab soalan tambahan Ma’mun mengenai kelewatan pelaksanaan projek itu, Mohamad berkata terdapat beberapa perkara yang menyumbang kepada kelewatan antaranya pandemik COVID-19.

“Kedua soal tapak tanah. Ketersediaan tanah ini sangat penting tetapi banyak isu dalam kita melaksanakan projek ini (dan) saya dapati isu tanah ini masih ada lagi, (manakala) yang ketiga soal kelewatan urusan teknikal,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.