PRN Melaka: Rakyat Tahu Antara Kaca Dan Permata – Fairuz

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin yakin pengundi-pengundi Melaka cukup bijak membuat penilaian dan memilih wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Malah beliau percaya pengundi Melaka sudah pasti melihat kebijaksanaan pemimpin UMNO semasa menerajui negeri itu.

“Sekarang ini khususnya rakyat bagi negeri Melaka sudah tahu bahawa kepimpinan UMNO adalah kepimpinan terbaik dan mereka dapat membezakan antara kaca dan permata.

“PRN Melaka adalah PRN yang penting buat UMNO/Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 15. Strategi-strategi yang betul perlu dilaksanakan di PRN Melaka,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya, calon muka baharu yang bakal diketengahkan harus mendapat sokongan dari pelbagai pihak.

“Kita berharap apa yang dinyatakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ingin mengemukakan calon muka baharu dapat dilaksanakan dan mendapat sokongan bukan sahaja kepimpinan Bahagian  malah pelbagai peringkat lain,”ujarnya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 20 November ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sejumlah 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan pada PRN Melaka utnuk membentuk kerajaan negeri. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit