Kaji Pengeluaran KWSP Pencarum Miliki Lebih RM10,000 Simpanan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap kerajaan dapat mengkaji semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar dapat meringankan beban pencarum yang terjejas.

Katanya, meskipun data KWSP menunjukkan 50 peratus pencarum mempunyai caruman kurang daripada RM10,000 namun kerajaan perlu melihat separuh daripada mereka memiliki lebih daripada nilai tersebut.

“Bantuan kewangan sebenarnya banyak membantu peniaga semasa pandemik ini maka sebab itulah mereka mengharapkan kepada kemudahan pengeluaran KWSP.

“Kita memahami dengan laporan bahawa 50 peratus pencarum hanya mempunyai caruman kurang daripada RM10,000 dalam KWSP tetapi kita harus memikirkan baki 50 peratus lagi pencarum yang mempunyai simpanan yang lebih daripada itu.

“Maka dicadangkan kerajaan menimbang semula permohonan ini dan pada masa yang sama lanjutkan lagi tempoh moratorium supaya dapat membantu rakyat yang terjejas,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Sementara itu, Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO juga turut memuji hasrat kerajaan yang komited membantu pemain industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Namun menurutnya, beliau menerima pelbagai rungutan daripada golongan ini yang berdepan kesukaran ketika membuat permohonan.

“Kerajaan dilihat bersungguh membantu perusahaan peringkat PMKS tetapi dalam pada masa yang sama ramai yang merungut proses permohonan terlalu birokrasi.

“Untuk mengatasi masalah ini diharap kerajaan dapat lebih bertolak ansur dalam memberikan kemudahan dalam pada masa yang sama pemohon hendaklah diberikan latihan yang lebih efektif dalam soal pengurusan kewangan dan lain-lain,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.