Bajet 2022 Dibentang Selepas Lalui Pelbagai Krisis, Rakyat Tetap Keutamaan – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Nov – “Saya tidak rasa ada golongan yang tertinggal cumanya mungkin ada yang dapat lebih ataupun yang dapat kurang, ataupun dulu mereka dapat pelepasan cukai atau insentif jadi mungkin kali ini giliran orang lain dan sebagainya,” demikian pandangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk  Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau yang membicarakan berkenaan Bajet 2022 menganggap dengan pelbagai pihak yang kadangkala merasakan bajet dibentangkan saban tahun tidak dapat dinikmati oleh mereka, sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya kerana kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat pelbagai peringkat menjadi keutamaan.

“Kita baru sahaja berdepan dengan krisis-krisis seperti krisis kesihatan, krisis politik, krisis keyakinan masa depan dan hubungan antara parti-parti politik. Dalam konteks latar belakang itu, kita terpaksa mewujudkan satu bajet yang terpaksa meletakkan semua kepentingan atau cara penyelesaian krisis sebagai tajuk utama.

“Sebab itu kita tidak dapat melihat projek-projek mega seperti yang biasa kita dengar dalam bajet tetapi kerajaan bertanggungjawab untuk melihat kepada projek-projek yang perbelanjaan boleh menangani krisis kesihatan.

“Keduanya setiap bajet itu saya kira ianya mesti memberikan keyakinan kepada keinginan pelabur domestik dan juga luar negara. Mana-mana bajet pun ianya mesti sepertimana kata Datuk Seri Najib Razak ketika beliau membahaskan bajet mengatakan bahawa kita perlu mewujudkan sebuah Malaysia yang menarik kepada dunia. Mana-mana bajet diolah ke arah mana sekalipun rakyat mesti yakin bahawa bajet ini memberikan harapan kepada mereka, anak mereka serta anak cucu mereka,” ujarnya lagi.

Katanya dalam keadaan itu negara tentunya perlu melihat kepada seluruh sektor supaya kesihatan rakyat terutamanya bukan sahaja terjamin dan diberi keutamaan malah sektor-sektor lain termasuklah soal ekonomi juga perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Kadang-kadang dulu orang muda marah atau ibu tunggal marah… tetapi ada masa mereka dapat… ada masa mereka tidak dapat tetapi pokok pangkalnya itu ialah apa yang kita belanjakan… walaupun projek sambung… sebagai contoh kalau tahun depan ada lagi perbelanjaan untuk jalan raya 10KM itu juga akan menyemarakkan ekonomi. Jadi sama ada kita berikan duit kepada penjawat awam, B40, M40 ataupun kepada SME dan sebagainya akhirnya nanti gandaannya itu akan wujud.

“Pada pandangan saya yang paling penting ialah kita kena yakin bahawa kerajaan telah pun membuat yang terbaik dan kita bantu kerajaan. Sebab keyakinan amat penting dalam struktur ekonomi kerana kalau kita tidak ada keyakinan baik dari segi bajet, baik dari segi kemampuan kerajaan dan akhirnya itu juga akan menjadi masalah kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Bual Bicara: Bajet 2022 – Kestabilan & Kebangkitan Semula’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS), di sini  malam tadi yang disiarkan menerusi  Facebook UMNO-Online. Program berkenaan dihoskan Dr Fauzi Shaffie.

Tambah Abdul Rahman lagi, negara baru sahaja berdepan dengan pelbagai krisis terutamanya krisis kesihatan ekoran dilanda pandemik COVID-19 yang turut melanda seluruh dunia dengan turut memberi kesan kepada aspek-aspek lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.