Rangka Tindakan Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021-2025 Dilancar

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini melancarkan Rangka Tindakan Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan 2021-2025, satu garis panduan untuk pihak berkepentingan dalam industri itu menyediakan pengalaman pelancongan penjagaan kesihatan terbaik Malaysia dan menggerakkan pemulihan industri berkenaan dalam peralihan kepada keendemikan.

Beliau berkata dengan rangka tindakan yang diwujudkan oleh Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), Malaysia dijangka menyediakan pengalaman pelancongan penjagaan kesihatan terbaik menjelang 2025.

Khairy berkata rangka tindakan itu menyasarkan untuk mempertingkatkan ekosistem pelancongan penjagaan kesihatan, memperkukuhkan jenama penjagaan kesihatan Malaysia dan usaha meluaskan pengenalan tawaran penjagaan kesihatan di negara ini kepada pasaran yang lebih bersasar.

Strategi utamanya termasuk mempertingkatkan kualiti penjagaan perubatan, pendigitan perjalanan pesakit dan usaha berterusan untuk menjadi destinasi ulung dunia yang menyediakan tawaran perkhidmatan perubatan yang berpatutan kepada pelancong penjagaan kesihatan

“Dengan rangka tindakan ini Malaysia mula membentuk satu perbatasan baharu untuk menilai semula pengalaman pesakit menerusi pendekatan secara kerjasama dan bersepadu ke arah pendigitalan.

Ini akan membolehkan penyedia penjagaan kesihatan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan dan ketenangan pesakit, terutamanya bidang yang ditawarkan Malaysia seperti Hab Kesuburan dan Kardiologi Asia dan Pusat Kecemerlangan Penjagaan Kanser,” kata beliau dalam ucapan pelancaran rangka tindakan itu secara langsung menerusi aplikasi Zoom dan laman Facebook.

Pelancaran rangka tindakan itu disaksikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif (MHTC) Mohd Daud Mohd Arif.

Rangka Tindakan itu juga mempunyai dua fasa, Fasa Pemulihan 2021-2022 yang menumpukan usaha mengukuhkan semula kesedaran tentang penjagaan kesihatan dengan kualiti kelas dunia yang ditawarkan Malaysia dan mempertingkatkan pengalaman pesakit menerusi usaha pendigitalan.

Kemudian pemain industri akan bekerjasama untuk memperluaskan kesedaran mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus yang ditawarkan Malaysia seperti Hab Kesuburan Asia, Hab Kardiologi Asia dan Pusat Kecemerlangan Penjagaan Kanser di bawah Fasa Pembinaan Semula dari 2023 hingga 2025.

Selain daripada rangka tindakan itu, MHTC juga menubuhkan Program “Flagship Medical Tourism Hospital” untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan terkemuka selain membangunkan negara ini sebagai destinasi pesara menjalani kehidupan. – BERNAMA