PRN Melaka Bukan Medan Ujian Parti Politik, Mandat Rakyat Untuk Masa Depan– Ir Abd Aziz

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukanlah medan ujian untuk mana-mana parti tetapi sebaliknya peluang yang terbuka luas untuk rakyat negeri berkenaan memberikan mandat kepada sesebuah parti untuk menerajui kerajaan negeri kelak.

Ketua Pemuda UMNO Sabah Ir Abd Aziz Julkarnain berkata sepertimana di Sabah sebelum ini rakyat telah membuat pilihan masing-masing dan begitu jugalah yang akan berlaku di Melaka nanti yang mana segala-galanya terserah kepada pengundi.

Menurut beliau PRN Melaka juga bukanlah sekadar sebuah pilihan raya negeri semata-mata namun ianya adalah cerminan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan datang kelak.

“Apa-apa pun keputusan PRN Melaka ini akan memberikan gambaran yang hebat dan apakah yang akan berlaku pada PRU-15 kelak. Tentunya pada PRN Melaka ini BN akan bergerak seperti biasa… sama ada secara solo dan sebagainya itu terserah kepada pucuk pimpinan.

“Kita yakin semasa PRU-14 parti tewas kerana dakyah-dakyah dari pembangkang pada waktu itu dan pada kali ini tentunya rakyat akan melihat kembali apa hidangan manifesto dan sebagainya daripada parti-parti yang bertanding,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya menaruh keyakinan pengundi Melaka akan melihat antara dua parti iaitu BN dan PH melalui ‘track record’.

“Sebelum ini rakyat Melaka telah memberikan kepercayaan kepada PH tetapi apa yang berlaku pada waktu itu… Pada kali ini saya percaya rakyat Melaka tidak akan mengulanginya dan insya-Allah BN akan mendapat kepercayaan kelak,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit