PM Lancar Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara

BANGI, 1 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin.

Beliau berkata melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI, Malaysia mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Walaupun pembangunan R&D dan penghasilan vaksin ini merupakan suatu pelaburan yang tinggi, tetapi ia berpotensi memberikan pulangan jangka panjang buat Keluarga Malaysia melalui penjimatan kos merawat penyakit selain membawa pelaburan syarikat multinasional ke Malaysia.

“Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI ini, modal insan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang penyelidikan terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan dan vaksin akan dapat dilahirkan,” katanya pada majlis pelancaran PPVN dan MGVI di Institut Genom Malaysia (MGI) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin

“Lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia sekali gus membantu meningkatkan jumlah tenaga pekerja mahir dan meningkatkan taraf hidup serta kesihatan rakyat,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata berkata PPVN tidak akan tertumpu hanya pada vaksin COVID-19 semata-mata, tetapi ia diperluaskan juga kepada vaksin bagi penyakit lain antaranya pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher oleh Pusat Penyelidikan Kanser.
Perdana Menteri berkata terdapat tiga projek bersedia untuk dilaksanakan melalui PPVN iaitu pertama melibatkan projek penghasilan dua jenis vaksin COVID-19 menggunakan virus yang dilemahkan (inactivated) dan mRNA yang dibangunkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Jelasnya bagi tujuan itu jumlah disalurkan oleh kerajaan melibatkan peruntukan penyelidikan Kementerian Kesihatan (KKM) dan SUKUK Prihatin (bantuan khas peruntukan penyelidikan COVID-19) yang berjumlah RM3.5 juta.

Projek kedua, kata beliau adalah vaksin kolera yang dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), dengan MOSTI turut membiayai projek itu menggunakan Dana Penyelidikan Strategik (SRF) sebanyak RM10.5 juta bagi “Pembangunan Vaksin Mukosa/Oral/Subunit Terhadap Kolera, Tuberkulosis dan COVID-19”.

“Sementara itu, yang ketiga melibatkan projek Penilaian Praklinikal Vaksin Kanser Terapeutik untuk Rawatan Kanser Kepala dan Leher oleh Cancer Research Malaysia (CRM) berjumlah RM3 juta yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Bagaimanapun, memandangkan tiada kemudahan ujian klinikal iaitu yang pertama terhadap manusia di Malaysia lagi pada ketika ini, maka CRM akan menjalankan ujian klinikal bermula Februari 2022 sehingga Mac 2023 di United Kingdom,” katanya.

Mengenai MGVI, beliau berkata penaiktarafan MGI bersesuaian dengan skop institut itu yang memberi tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin.

“Saya yakin, penubuhan MGVI ini dapat memberi kesan positif kepada negara daripada sudut ekonomi, sosial dan teknologi sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi kerana tiada kebergantungan kepada sumber bekalan dari luar,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan komited memacu R&D bagi menghasilkan teknologi baharu dengan memastikan 50 peratus daripada dana penyelidikan kerajaan disediakan untuk pembangunan eksperimental (aktiviti prapengkomersialan) khususnya bagi inovasi yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

Melalui pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan, beliau berkata negara menjangkakan lebih ramai saintis vaksin dapat dilahirkan sekali gus menyokong perancangan kerajaan meningkatkan kemampuan membangunkan vaksin khusus manusia, bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara malah pasaran global.

Beliau turut melahirkan keyakinan negara boleh memengurangkan kebergantungan terhadap negara-negara pengeluar vaksin apabila Malaysia memperkukuhkan sekuriti kesihatan negara. – BERNAMA