Bantuan Khas Kewangan RM350 Turut Diberi Kepada Veteran ATM Tidak Berpencen

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM350 secara sekali beri kepada satu juta pesara kerajaan yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lepas akan turut diberikan kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu selaras amalan semasa kerajaan yang prihatin terhadap golongan veteran ATM tidak berpencen agar turut menerima BKK.

Beliau berkata inisiatif berkenaan telah dilaksanakan pada Bajet 2021 dengan RM300 diberikan kepada kumpulan pesara.

Ismail Sabri berkata Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) menganggarkan sehingga kini terdapat kira-kira 300,000 veteran ATM terdiri daripada mereka yang berpencen, penerima pencen terbitan dan tidak berpencen.

“Namun daripada jumlah itu, hanya seramai 82,000 veteran ATM tidak berpencen telah berdaftar dengan JHEV sehingga 30 Sept 2021.

“Sehubungan itu, veteran ATM tidak berpencen yang belum berdaftar disarankan untuk berbuat demikian dengan JHEV agar BKK dapat disalurkan kepada mereka menjelang bulan Januari 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat berkata seramai satu juta pesara kerajaan akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.