Tiga Aspek Ekosistem Perkhidmatan Jalur Lebar Perlu Diberi Perhatian – Annuar

KOTA BHARU, 31 Okt – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengenal pasti tiga aspek ekosistem perkhidmatan jalur lebar yang perlu diberikan perhatian, bagi memastikan kualiti capaian internet di semua kawasan termasuk luar bandar.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata aspek pertama membabitkan prasarana mencukupi, bagi menjamin tahap penyampaian perkhidmatan jalur lebar kepada masyarakat dengan capaian internet 4G, pada kelajuan sekurang-kurangnya 35 megabit per saat (Mbps).

“Itu tanda aras yang kita akan sukat, sama ada tempat tersebut mempunyai capaian pada tahap berkenaan, bukan sahaja liputan (internet), bahkan liputan berkenaan bertaraf 4G.

“Manakala, aspek kedua kena ada peranti yang sesuai dan mampu dimiliki rakyat termasuk golongan miskin. Oleh sebab itu, saya telah perkenalkan pakej peranti Keluarga Malaysia iaitu dengan hanya bayar RM40 langganan mampu memperoleh terus peranti 4G secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tablet Huawei Matepad T10 kepada 200 orang pelajar Tingkatan Enam di Dewan Khatam Putra Chengal, Ketereh di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd Michael Yuan.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata aspek ketiga membabitkan aplikasi, bagi memberikan galakan dan kemahiran kepada masyarakat menjana pendapatan.

“Kita telah perkenalkan #SayaDigital, iaitu gerakan melatih bagi menggalakkan dan memberikan kemahiran kepada rakyat termasuk di luar bandar menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

“Malah, ia dapat menjamin pendapatan dengan penyertaan dalam e-dagang dan sebagainya. Jadi, saya ambil ini sebagai satu pendekatan yang menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata sumbangan peranti kepada pelajar sekolah dan universiti terutamanya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), perlu diberi perhatian.

Katanya, pemilikan peranti diberikan perhatian serius oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan meminta KKMM mengambil langkah memastikan setiap keluarga mempunyai peranti yang sesuai untuk pembelajaran dan aktiviti produktiviti.

“Saya juga ingin menyeru kepada badan-badan yang terlibat termasuk industri telekomunikasi, supaya mempertingkatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat masing-masing dengan memberikan sumbangan peranti kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – BERNAMA