Bajet 2022: MB Perlis Alu-Alukan Rakyat Beri Pandangan

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengalu-alukan rakyat di negeri ini untuk memberikan pandangan dan cadangan yang spesifik sebagai input melalui platform Facebook beliau untuk ditimbangkan oleh kerajaan negeri dalam penyediaan Bajet 2022.

Beliau juga sementara itu turut memaklumkan sebelum ini kerajaan negeri juga mengadakan dialog dengan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu untuk mendapatkan input untuk merangka bajet tahunan.

“Jangan takut menawarkan idea-idea baru. Jangan malu walaupun cadangan itu nampak kecil dan mudah. Sesuatu cadangan kecil yang mempunyai impak positif besar kepada rakyat lebih baik dari idea besar tapi tidak praktikal dan tak boleh dilaksanakan.

“Kerajaan negeri sedang memberikan tumpuan kepada pendekatan bersifat development-centric (berpaksikan pembangunan) dan rakyat-centric (berpaksikan rakyat) untuk membangunkan Perlis, terutama dalam usaha pemulihan ekonomi dan peningkatan tahap sosio-ekonomi rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau juga turut memaklumkan keutamaan juga diberikan kepada pembangunan sektor-sektor berikut dalam dasar ekonomi negeri Perlis, iaitu:

● Dasar Pembangunan Industri Pembuatan;
● Dasar Pembangunan Industri Perkhidmatan dan Lojistik;
● Dasar Pembangunan Industri Pertanian dan Penternakan Komersial;
● Dasar Pembangunan Hartanah Mampu Milik;
● Dasar Pembangunan Industri Pelancongan Berasaskan Keindahan Alam Semula Jadi;
● Dasar Pembangunan Industri Penjanaan Tenaga; dan
● Dasar Pembangunan Industri Peruncitan dan Makanan;

“Dasar-dasar di atas adalah sebagai panduan. Marilah sama-sama memberikan sumbangan idea-idea bernas sebagai input yang inklusif untuk bajet negeri Perlis 2022 demi faedah negeri dan rakyat.

“Semua idea akan ditimbangkan dan akan digunapakai mengikut kesesuaian. Jangan tunggu lagi… jom menyumbang secara inklusif,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.