Agenda Literasi Kewangan Perlu Usaha Berterusan, Hala Tuju Jelas – Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Pelaksanaan agenda literasi kewangan memerlukan usaha berterusan, hala tuju jelas berserta penilaian secara jujur terhadap tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan 1 Mohd Shahar Abdullah.

Malah, beliau menegaskan, kerajaan amat serius dalam menjayakan agenda literasi kewangan rakyat yang merupakan antara kunci utama dalam usaha peningkatan sosioekonomi penduduk negara ini.

“Menyedari hakikat ini, kerajaan telah menggariskan hala tuju usaha literasi kewangan sebagai antara keutamaan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Ini dizahirkan berpandukan Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2019-2023 yang dibangunkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).

“Dalam usaha kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif berkaitan peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran serta menambah baik program kebajikan sosial bagi isi rumah miskin tegar dan miskin, peningkatan aspek sosioekonomi rakyat juga perlu hadir bersama ilmu kewangan yang betul,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2021yang dianjurkan untuk tahun kedua, secara maya di sini, hari ini.

Mohd Shahar berkata sejajar dengan kepentingan tahap literasi itu, satu Kaji Selidik Literasi dan Rangkuman Kewangan kini dijalankan di seluruh negara untuk menilai tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat.

“Hasil dapatan kaji selidik ini, saya jangka, akan dapat memberi situasi kesejahteraan kewangan rakyat pada penghujung pandemik COVID-19 ini.

“Ini penting bagi kita mengatur semula langkah untuk meningkatkan tahap literasi kewangan rakyat, terutama keperluan literasi kewangan digital, perlindungan sosial serta penekanan terhadap perancangan persaraan memandangkan perubahan demografi rakyat Malaysia selepas pandemik ini,” katanya.

Mohd Shahar berkata, usaha merangka agenda pendidikan kewangan itu turut memerlukan pendekatan holistik serta perancangan rapi bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.

“Oleh itu, saya berasa amat teruja apabila pendekatan FLM2021 kali ini lebih bersepadu, bukan sahaja melibatkan akses kepada pengetahuan kewangan tetapi juga program peningkatan kemahiran yang disediakan oleh kerajaan serta peluang penjanaan pendapatan melalui platform digital.

“Saya juga menyambut baik inisiatif FLM2021 kali ini dalam memperdepankan inisatif kerajaan berkaitan jaringan keselamatan kepada golongan B40 dan pekerja (ekonomi) gig seperti Baucar Perlindungan Tenang dan PenjanaGig yang merupakan sebahagian daripada aspek pengurusan risiko kewangan yang amat penting,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.