Perak Rangka Belanjawan Elak Bertindih Dengan Kerajaan Persekutuan

LENGGONG, 30 Okt – Kerajaan Perak akan merangka belanjawan yang tidak akan bertindih seperti diumumkan kerajaan Persekutuan semalam supaya aspek pengurusan kebajikan rakyat negeri ini akan lebih tersusun, kata Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu menguruskan belanjawan mengikut kemampuan yang memerlukan perbincangan banyak pihak yang dijangka dilaksanakan serta dimuktamadkan pada 10 Dis ini.

“Kita sudah bincang di peringkat Exco tetapi belum dimuktamadkan. Rangkanya sudah ada cuma kita ingin teliti dulu belanjawan di peringkat Persekutuan supaya tidak wujud pertindihan (penyaluran dan pembahagian). Apa yang penting, kita perlu menguruskan belanjawan demi kemakmuran negeri.

“Perancangan juga penting supaya apa yang kurang dari kerajaan pusat, akan kita tampung,” katanya selepas merasmikan program Khidmat Bakti Masyarakat Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini, kira-kira 60 kilometer dari Ipoh hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 dengan peruntukan bernilai RM332.1 bilion untuk memperkukuhkan pemulihan negara, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Turut diumumkan adalah peruntukan khusus berjumlah RM260 juta iaitu iaitu RM20 juta bagi setiap negeri dalam memfokuskan kepada projek berkenaan jaminan makanan, pelancongan serta pemuliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Saarani berkata peruntukan itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri merancang program berkaitan jaminan makanan ruji seperti padi dan beras selain menyemarakkan aktiviti pelancongan.

“Kita akan uruskan sebaiknya mengikut pihak berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Veterinar dan Perikanan kerana nanti akan ada dua belanjawan iaitu satu dari kerajaan pusat dan satu dari kerajaan negeri,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.