Bajet Restoransi, Pulih Sektor Pelancongan Dan Alam Sekitar

KUANTAN, 30 Okt – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, sebagai ‘bajet restorasi’ memulihkan negara dan negeri selepas terkesan pandemik COVID-19.

Kerajaan Pahang juga menurut Wan Rosdy, menghargai pelbagai inisiatif untuk memulihkan sektor pelancongan dan alam sekitar yang turut melibatkan Rizab Biosfera Tasik Chini (TCBR) di Pekan.

“TCBR yang telah diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Mei 2009 penting untuk dipulihara kerana mempunyai karakter ekologi dan sosioekonomi yang begitu unik.

“Oleh demikian, usaha berterusan bagi memelihara kawasan ini disambut baik oleh kerajaan negeri untuk tatapan generasi akan datang,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy berkata Pahang sebagai negeri yang kaya dengan destinasi pelancongan amat menghargai inisiatif bagi memulihkan sektor pelancongan yang hampir lumpuh akibat pandemik COVID-19, selain Bajet 2022 juga memangkin program pembaharuan sektor tersebut.

Sebagai contoh, Wan Rosdy merujuk kepada peruntukan RM1.6 bilion yang diumumkan menerusi pelbagai inisiatif antaranya PENJANA Tourism Financing, bantuan khas pengusaha pelancongan serta penyelenggaraan infrastruktur dan geran padanan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah pasti memberi kelegaan kepada pihak terlibat.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi masyarakat luar bandar juga dapat berjalan dengan lebih pantas menerusi peruntukan RM2.5 bilion untuk tujuan itu, kepada agensi terlibat seperti Felda, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra.

“Di Pahang, kita mempunyai tiga wilayah Felda, 22 kawasan Felcra dan hampir 20,000 pekebun kecil yang mana inisiatif diumumkan akan membawa manfaat kepada rakyat negeri ini bagi membina semula hidup untuk masa depan lebih cemerlang,” katanya.

Wan Rosdy berkata pengumuman peruntukan RM3.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur termasuk projek Jalan Spine Road (CSR) yang bermula dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Kuala Krai, Kelantan juga membawa impak positif kerana laluan itu merentasi Pahang.

“Pembinaan CSR dijangka akan mengurangkan kesesakan jalan raya di Pekan Bentong dan meningkatkan aksesibiliti keluar masuk ke negeri di Pantai Timur, khususnya Pahang,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.