Bajet Johor 2022 Diperinci Supaya Tiada Yang Tercicir – MB

KLUANG, 30 Okt – Kerajaan negeri akan memperincikan setiap inisiatif dalam Bajet Johor 2022 yang akan dibentangkan pada penghujung November depan, bagi memastikan tidak berlaku keciciran bantuan kepada penerima yang layak.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata langkah itu bertujuan memberi peluang kepada kerajaan negeri memperluaskan lagi bantuan-bantuan yang akan dipertimbangkan bagi mereka yang tidak tergolong atau berpeluang menerima faedah daripada bajet sebelum ini.

Bercakap pada satu sidang media di sini hari ini beliau berkata bantuan melalui Bajet Johor 2022 itu akan diperluaskan kepada semua masyarakat mencakupi pelbagai aspek dan sektor ekonomi.

Kerajaan Johor dijangka membentangkan Bajet Johor 2022 pada 25 Nov dengan pendekatan bersifat mengembang demi memulihkan keadaan ekonomi susulan pandemik COVID-19.

Terdahulu Hasni menyempurnakan Majlis Penyampaian Hak Milik Kampung Sri Maju Jaya dan Kampung Bukit Nyamuk Renggam di Dataran Belia Renggam dekat sini, yang menyaksikan 61 keluarga yang meneroka kawasan penempatan di kedua-dua lokasi berkenaan sejak tahun 1970 menerima geran hak milik. – BERNAMA