Bajet 2022 Tumpu Enjin Pemulihan: Peluang Kerja Dan PMKS; Pelaksanaan Perlu Mantap – Shahril Hamdan
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berpandangan Belanjawan 2022 yang dibentangkan semalam banyak memberi fokus kepada peluang pekerjaan dan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil, sederhana (PMKS).
Beliau berkata ianya juga dilihat sebagai indikator utama kepada masalah ekonomi iaitu ramai dalam kalangan rakyat yang menganggur dan banyak usahawan dan syarikat sederhana yang tiada aliran tunai.
“Jadi atas kertas, komitmen yang tertera dalam belanjawan ini memberi harapan dua masalah ini dapat ditangani dengan lebih baik daripada sebelumnya, terutama dengan ekonomi sudah dibuka.
“Untuk menterjemahkan inisiatif atas kertas, saya harap syarat-syarat dan birokrasi dilonggarkan khususnya dalam pembiayaan PMKS dari institusi kewangan pembangunan (DFI) dan dari agensi kerajaan supaya banyak PMKS yang mendapat manfaat lebih segera,” katanya pada UMNO Online.
Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata selain itu, bantuan untuk belia dan mahasiswa juga dialu-alukan terutamanya pemberian peranti percuma kepada lebih 600,000 mahasiswa B40.
“Sekali lagi, kelancaran pelaksanaan ialah ujian utama,” ujar beliau. – UMNO Online