Bajet 2022: Menyeluruh Dan Optimistik, Fokus Kumpulan Sasar – Asyraf
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berpandangan analisa awal dan perbincangan bersama rakan-rakan Pemuda menyimpulkan bahawa Bajet 2022 yang diumumkan semalam adalah menyeluruh dan optimistik malah anggaran perbelanjaan keseluruhan RM332.1 billion tersebut juga adalah tertinggi dalam sejarah negara.
Katanya, rumusan awal ini adalah berdasarkan pemerhatian mengenai program-program dan peruntukan untuk kumpulan-kumpulan sasar yang disebut secara spesifik oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sama ada untuk anak muda, penjawat awam, pekerja-pekerja, pengusaha perniagaan, ibu dan wanita, belia dan kanak-kanak serta banyak lagi.
“Saya dan teman-teman Pemuda UMNO Malaysia mendengar dengan penuh minat dan harapan yang Belanjawan 2022 yang dibentangkan kelmarin bakal menjadi instrumen penting untuk pemulihan negara yang ramai rakyat di luar sana dambakan.
“Bagaimanapun sejujurnya, saya dan teman-teman di Pemuda UMNO Malaysia tidak dapat menyimpan perasaan kecewa, apabila ada beberapa tuntutan rakyat yang kami perjuangkan tidak dipenuhi, walaupun tidak dinafikan sudah ada beberapa tuntutan rakyat yang kami perjuangkan ditunaikan kerajaan termasuk moratorium tanpa faedah.
“Namun antara yang menjadi harapan besar majoriti rakyat iaitu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara one-off yang tidak dimasukkan oleh kerajaan dalam pembentangan kelmarin” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelas beliau walaupun perkara ini telah berkali-kali diperjuangkan secara konsisten bahkan diutarakan di dalam pelbagai medium, platform termasuk mengadakan siri-siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi negara hatta pengurusan tertinggi KWSP.
Bagaimanapun menurut Asyraf, beliau dan rakan-rakan di Pemuda UMNO tidak boleh lepas tangan dalam melihat lebih teliti dokumen-dokumen Belanjawan 2022 termasuklah laporan ekonomi dan teks ucapan Menteri Kewangan yang akan diteliti dengan mendalam secara bersama.
“Banyak cabaran dan kekangan yang akan dihadapi oleh semua pihak termasuklah pemerintah untuk menjayakan Belanjawan 2022 ini.
“Andaian ekonomi dan pengenalan cukai dan duti eksais baru untuk menampung perbelanjaan besar yang dirancang sudah pasti akan memberi impak kepada iklim perniagaan dan harga pengguna kelak.
“Oleh yang demikian, pandangan, kritikan dan cadangan-cadangan untuk penambahbaikkan Belanjawan 2022 oleh Pemuda UMNO Malaysia akan disampaikan kepada anggota pentadbiran kerajaan dan ahli-ahli Parlimen. Kami mahu manfaat sebenar dari Belanjawan 2022 akan sampai kepada rakyat dan memangkin kepada pemulihan ekonomi negara,” ujar beliau. – UMNO Online