Bajet 2022: Melaka Fokus Selesaikan Isu Banjir

ALOR GAJAH, 30 Okt – Kerajaan negeri Melaka akan memberi fokus kepada penyelesaian masalah banjir yang berulang di beberapa kawasan di negeri itu, menerusi pengumuman Bajet 2022 semalam, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata beberapa kawasan yang dikenal pasti seperti Bukit Baru, Sungai Duyong, Sungai Putat dan lain-lain sering mengalami masalah banjir, akan diberi tumpuan supaya projek pembangunan jangka pendek dapat dilaksanakan dengan segera.

“Kami ada projek tebatan banjir yang telah diluluskan tetapi mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan, jika berlaku lagi hujan di luar jangka, pasti berulang lagi banjir kilat seperti yang berlaku minggu lepas.

“Kami mahu mengelakkan masalah ini daripada berulang dan saya telah minta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka membuat kajian dan melihat semula kawasan-kawasan yang dilanda banjir,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Semalam, menerusi pembentangan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM450 juta kepada kementerian berkaitan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan sebagai berkata inisiatif itu merangkumi projek pemuliharaan alam seperti mengatasi banjir di Melaka, menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka, Kedah dan projek pemeliharaan alam seperti Penang Hill Biosphere Reserve dan Tasik Chini Reserve.

Dalam pada itu, Sulaiman mengarahkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka mengkaji pembentangan yang diumumkan, bagi melihat apakah peluang yang mungkin tidak disebut tetapi boleh memberi kebaikan kepada Melaka.
– BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.