Rumah Rakyat Pahang Diperluas Ke Tanah Rancangan Felda – Wan Rosdy

KUANTAN, 29 Okt – Projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 sebuah secara percuma kepada mereka yang layak akan diperluas ke kawasan tanah milik di kawasan tanah rancangan Felda di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pelaksanaan itu yang diputuskan Rabu lepas bertujuan membantu golongan memerlukan dalam kalangan generasi kedua Felda memiliki rumah sendiri.

“RRP itu akan dibina di atas tanah hak milik ibu bapa mereka iaitu generasi pertama Felda dengan syarat semua ahli keluarga memberikan persetujuan.

“Semakan undang-undang mendapati tiada halangan untuk membina rumah tersebut di tanah berkenaan selain Felda juga tidak mempunyai halangan dalam pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk memudah cara pelaksanaan RRP di kawasan mereka bagi memanfaatkan penerima rumah bantuan itu.

Pegawai daerah pula diingatkan untuk mengenal pasti dan memilih mereka yang layak menerima RRP. – BERNAMA