Bajet 2022 Memacu Kesejahteraan Keluarga Malaysia
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini berkata bajet mengembang itu mengambil aspirasi konsep Keluarga Malaysia dan turut dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu akibat pandemik COVID-19.
“Bajet 2022 diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini, juga ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah bajet yang inklusif, mampan dan seimbang,” katanya ketika membentangkan bajet bertema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.
Bajet 2022 itu meneruskan pemberian bantuan wang tunai langsung secara bersasar kepada rakyat, memperkasakan aspek pendidikan dan kesihatan dengan menyediakan peruntukan terbesar kepada kedua-dua sektor berkenaan dan menjana peluang pekerjaan.
Tengku Zafrul dalam Bajet 2022 itu mengumumkan pemberian inisiatif tunai langsung Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun hadapan dengan peruntukan RM8.2 bilion untuk disalurkan kepada 9.6 juta penerima.
Dalam mengutamakan aspek kesihatan awam bagi membina daya tahan negara sebagai persediaan ke fasa endemik COVID-19, Tengku Zafrul berkata Bajet 2022 menyediakan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Menyedari krisis pandemik telah memburukkan kehidupan sosial sehingga mencetuskan kesempitan hidup, keganasan rumah tangga dan kemurungan, Bajet 2022 memperuntukkan RM70 juta bagi memastikan isu kesihatan mental diberi keutamaan.
Seperti kelaziman belanjawan negara yang memberi tumpuan kepada sektor pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara, Tengku Zafrul berkata Bajet 2022 menyediakan peruntukan RM52.6 bilion untuk Kementerian Pendidikan manakala RM14.5 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
Kerajaan juga akan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 setiap pelajar untuk tiga juta murid yang layak sebagai persediaan ke sekolah, berbanding RM100 sebelum ini.
Sebagai menghargai jasa guru melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) terutamanya semasa pandemik COVID-19, Bajet 2022 menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar RM100 secara sekali bayar kepada lebih 400,000 guru. – BERNAMA