Bajet 2022: Lebih RM31 Bilion Diperuntukkan Untuk Subsidi, Bantuan Dan Insentif

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Lebih RM31 bilion diperuntukkan khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif menerusi Bajet 2022 bagi meminimum kesan peningkatan kos sara hidup rakyat melibatkan kawalan harang barang dan perkhidmatan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini berkata tempoh pengurangan kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dilanjutkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus sehingga Jun 2022.

Beliau berkata ia melibatkan anggaran nilai RM2 bilion, bertujuan menambah wang dalam tangan kepada rakyat.

Tengku Zafrul turut mengumumkan pelanjutan 100 peratus pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang (kenderaan pemasangan tempatan) CKD dan 50 peratus ke atas (kenderaan import sepenuhnya) CBU termasuk MPV dan SUV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022.

Selain itu, beliau memaklumkan kerajaan akan meneruskan projek-projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dengan nilai keseluruhan RM1.5 bilion.

“Setiap daripada Keluarga Malaysia berhak memilik rumah kediaman sebagai keperluan kehidupan… peruntukan ini antaranya bagi meneruskan program-program rumah mesra rakyat dan bantuan menyelenggara perumahan rakyat,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM2 bilion kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan pada tahun depan untuk memberi akses pembiayaan kepada pekerja gig, pengusaha kecil dan petani yang tidak mempunyai pendapatan tetap bagi pembelian rumah.

Katanya sebahagian daripada golongan ini sukar mendapatkan pinjaman perumahan kerana ketiadaan bukti pendapatan tetap walaupun mempunyai keupayaan membayar balik pinjaman.

Jelas beliau kerajaan tidak akan mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun keenam dan ke atas.

Beliau memaklumkan inisiatif-inisiatif ini adalah di bawah Strategi Ketiga Bajet 2022, Membina Kehidupan Yang Kondusif yang tertumpu kepada meringankan kos sara hidup, menggalakkan pemilikan rumah kediaman, kemudahan pengangkutan, pembangunan infrastruktur luar bandar serta pertahanan dan keselamatan awam.- BERNAMA