UMNO Terus Dekati Anak Muda, Semai Pemahaman Terhadap Perjuangan Parti – Mohd Nizar
PEKAN, 28 Okt – UMNO tidak pernah meminggirkan suara generasi muda dalam agenda perjuangan bagi membentuk masa depan parti yang kukuh, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Mohd Najib.
Walaupun begitu katanya, Pemuda UMNO Pekan akan terus aktif dan agresif bagi menambat hati pengundi muda untuk sama-sama dalam perjuangan UMNO dengan penekanan terhadap memahami aspirasi golongan ini.
“Ini adalah satu blok pengundi muda yang begitu besar dan Pemuda UMNO Pekan tidak boleh meminggirkan golongan ini malah harus terus mendekati, memahami inspirasi dan memikirkan pendekatan yang sesuai.
“Itu adalah cabaran di peringkat Pemuda UMNO Pekan untuk mendekati pengundi-pengundi muda agar golongan ini dapat memahami hala tuju UMNO dan menyakinkan anak muda bahawa UMNO adalah sebuah wadah perjuangan yang membela dan membantu anak muda dari dulu, sekarang dan pada masa-masa akang datang,” katanya kepada UMNO Online yang ditemui baru-baru ini.
Jelasnya, pada masa kini anak muda lebih cenderung kepada media sosial dan UMNO perlu memanfaat dan menguasainya.
“Kalau dulu ramai anak-anak muda selalu bermain media sosial seperti facebook tapi sekarang sudah berkurangan kerana mereka beralih pada platform baharu yang lebih segar seperti instagram dan tik tok.
“Sehubungan itu Pemuda UMNO Pekan telah memikirkan strategi dan cara-cara bagaimana hendak mendampingi anak-anak muda melalui media sosial dan pendekatan lain mengikut keadaan semasa,” katanya lagi. – UMNO Online