PM Terus Disokong, UMNO Pastikan Kerajaan Kembalikan Momentum Pertumbuhan Negara – Hasan Arifin

ROMPIN, 26 Okt – Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin berharap semua  pihak sama ada kepimpinan parti dan akar umbi UMNO berlapang dada dan terus memberikan sokongan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ini kerana katanya, sokongan dari semua pihak amat penting untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan dapat menyelesaikan kemelut negara.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus mendapat sokongan semua pihak untuk mengubah dan menyelesaikan segala masalah dalam kegawatan ekonomi sekarang ini.

“Oleh kerana beliau (PM) adalah dari parti UMNO maka ianya harus membuktikan bahawa UMNO boleh mengubah keadaan ekonomi negara dan keluar dari masalah ini… itulah yang diharapkan.

“Kalau politik tidak stabil susah bagi Perdana Menteri hendak buat kerja dan ia memerlukan satu keadaan yang cukup stabil agar beliau dapat merancang dan menyelesaikan masalah-masalah ekonomi negara,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata kepimpinan tertinggi UMNO juga harus mendengar pandangan akar umbi demi masa depan parti.

“Kita tidak mahu pemimpin atasan membuat keputusan yang boleh merugikan masa depan parti malah selama ini pemimpin atasan memberikan akar umbi peluang untuk menyuarakan kehendak mereka apatah lagi dengan suasana politik sekarang.

“Keputusan dari kepimpinan UMNO adalah berteraskan rintihan dari akar umbi yang mahukan perpaduan dikalangan pemimpin politik kerana mereka telah bosan dengan perkembangan politik mutakhir ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.