Pemuda UMNO Perkasakan Platform Media Sosial Sepanjang Kempen PRN Melaka – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pergerakan itu akan memperhalusi gerak kerja terutamanya tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.
Jelasnya, apa jua garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM, Pemuda UMNO akan mematuhinya dalam usaha melicikan gerak kerja terutama memastikan keselamatan rakyat Melaka dan pelbagai pihak lain.
“Pemuda UMNO memperhalusi gerak kerja terutamanya tentang SOP yang baru dikeluarkan oleh KKM berkenaan dengan larangan-larangan kempen secara fizikal dan pelbagai garis panduan dari segi kempen.
“Kita juga akan mematuhi apa jua garis panduan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung nanti,” katanya pada sidang media di Menara Datuk Onn, di sini, hari ini.
Asyraf yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) seterusnya menjelaskan pihaknya menyantuni dan cuba meraih sokongan daripada rakyat terutama anak muda.
Namun tambahnya dalam apa jua keadaan keselamatan dan kesihatan rakyat adalah menjadi keutamaan dan ianya lebih penting segala-galanya.
Asyraf seterusnya memberitahu strategi digital kempen akan terus dilipatgandakan kelak.
“Pemuda UMNO akan menggadakan dan memperkasakan strategi digital kempen. Ini satu strategi apabila berhadapan dengan pandemik dan berhadapan plihan raya.
“Kita nak pelbagaikan kempen melalui media digital secara terbuka di Facebook, Twitter, Instagram, TikTok mahu pun aplikasi media tertutup seperti Telegram dan Whatsapp dan sebagainya. Jadi itu yang kita akan guna strategi untuk diperkasakan, dan mekanisme ini boleh digunakan untuk pilihan raya akan datang.
“Pemuda UMNO telah mewujudkan satu pasukan khas untuk kempen pilihan raya ini dan model tersebut akan digunakan untuk kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Asyraf turut memaklumkan pergerakan itu memandang serius serta memberi perhatian sewajarnya berkenaan dengan kebajikan pekerja-pekerja muda yang menggunakan E-Hailing terutama selepas era pandemik hari ini.
Sepanjang dua bulan ini, tambahnya pergerakan itu telah mengadakan pertemuan-pertemuan dengan pihak Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso serta lain-lain yang berkaitan.
“PERKESO bersetuju untuk mengadakan kolabrasi strategik bersama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bagi pendaftaran Skim Bencana Pekerjaan SPS Lindung PERKESO kepada rider E-Hailing di seluruh Malaysia yang melibatkan 191 parlimen.
“PERKESO juga bersetuju menyediakan platform penempatan pekerjaan melalui penjana kerjaya ‘MyFuture Jobs’ yang bakal memberi manfaat kepada anak-anak muda di seluruh Malaysia melalui ‘One Stop Centre’ yang akan dikelolakan bersama oleh Pemuda UMNO Malaysia.Program Insentif ini akan merangsang permintaan pekerjaan dalam kalangan majikan serta meningkatkan peluang pekerjaan buat rakyat terutamanya orang muda.
“PERKESO dan Pemuda UMNO Malaysia juga bersetuju mengadakan kerjasama strategik jangka masa panjang mengenai isu-isu yang melibatkan hak pekerja, perlindungan dan keselamatan sosial khususnya bagi penggerak ekonomi gig (E-Hailing) agar kebajikan, keselamatan mereka akan terus mendapat pembelaan daripada pihak yang berkenaan,” ujarnya. UMNO Online