UMNO Parti Perjuangan, Mesyuarat Cawangan Tambah Keterujaan Akar Umbi Berdepan PRU – Nadzim


AMPANG, 25 Okt – Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, pihak lawan menganggap bahawa UMNO sudah mati namun dengan pelaksanaan mesyuarat Cawangan yang berlangsung di seluruh negara sekarang ini menjadi bukti bahawa UMNO tetap relevan malah keterujaan dalam menyemarakkan perjuangan makin bertambah untuk menghadapi PRU ke-15.

Demikian tegas pemangku Ketua Bahagian Ampang, Mohamad Nadzim Ibrahim ketika berucap di hadapan ahli-ahli UMNO yang hadir dalam majlis Perasmian Persidangan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Ampang 2021 yang berlangsung di Dewan Mufti Shuib, semalam.

Ujarnya, UMNO Bahagian Ampang menjadi antara bukti bahawa sejak PRU-14 hingga kini tidak ada satu pun cawangan parti terbabit ditutup sebaliknya bertambah.

“Dari tewas dalam PRU hingga kini tidak ada satu pun cawangan parti yang dibubarkan malah telah bertambah menjadi 98 cawangan hari ini.

“Kita bersedia walau dalam apa juga cara untuk menggempur dan mengembalikan tiga kerusi UMNO bagi berdepan dalam PRU ke-15,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ampang.

Katanya, melalui fitnah dan adu domba, Pakatan Harapan (PH) menang PRU ke-14 dan menjadi teraju kerajaan namun ternyata pentadbiran mereka tidak dapat bertahan lama.

“Jika mereka menang kerana fitnah yang ditohmah kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) namun mereka telah tewas kepada kepimpinan mereka sendiri.

“Allah SWT berikan keajaiban apabila kerajaan PH runtuh dan kemudian terbentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Biarpun PM bukan dari UMNO tetapi telah melantik menteri-menteri UMNO dalam kementerian-kementerian kritikal yang kemudian apa-apa urusan dan kebertanggungjawaban termasuk dalam pandemik COVID-19 diletakkan di atas kepala dan bahu para pemimpin UMNO.

“Keajaiban dari Allah terus berlaku apabila kemudiannya PN tidak dapat bertahan lama dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.”

Ujarnya, hal tersebut adalah peluang kedua kepada UMNO untuk terus membuktikan bahawa parti ini mampu menggalas tugas menerajui negara berbanding parti-parti lain.

“Datuk Seri Ismail Sabri angkat ‘Keluarga Malaysia’ untuk naikkan nama negara bersama-sama dengan kita semua menolak perkara remeh-temeh sebaliknya berkhidmat kepada rakyat.

“Dasar kerajaan dari perdana menteri UMNO ini telah mendatangkan hasil yang memberi ruang dan peluang kepada rakyat dalam negara malah anak-anak muda di Ampang ini sendiri telah mula merasakan nikmatnya apabila dapat kembali berniaga dan bekerja.

Dilaporkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan Mesyuarat Cawangan parti dilaksana bermula 15 Okt hingga 30 November depan. Mesyuarat boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dan maya mengikut situasi COVID-19 di kawasan masing-masing. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.