Rangka Tindakan Perdagangan Nasional, Pelan Strategik Lima Tahun Untuk Lonjakkan Daya Saing Perdagangan – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Pelan strategik lima tahun Rangka Tindakan Perdagangan Nasional yang dilancarkan hari ini akan meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia dan mengukuhkan kedudukan negara di arena antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Rangka Tindakan dengan lapan teras strategik dan 40 cadangan/syor itu akan menangani perubahan struktur yang diperlukan untuk sektor eksport berkembang maju melalui pengukuhan memudah cara perdagangan, logistik, pematuhan piawaian/standard, akses pasaran, kemampanan, pendigitalan dan teknologi, pelaburan dan penjenamaan.

Perdana Menteri berkata kesemua cadangan berkenaan akan dilaksanakan oleh lapan kumpulan kerja yang terdiri daripada pakar dari sektor awam dan swasta.

“Rangka Tindakan itu mencerminkan cita-cita jelas kerajaan untuk mengembangkan lagi kedudukan dan daya saing Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.

“Paling penting, Rangka Tindakan itu ditetapkan untuk melengkapi dasar yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) untuk mencapai sasarannya dengan cadangan yang jelas, boleh diambil tindakan dan lebih fokus,” katanya semasa merasmikan majlis pelancaran Rangka Tindakan Perdagangan Nasional yang diadakan secara maya di sini hari ini. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.