Terus Perkasakan UMNO Untuk Tsunami PRU-15, Waspada Pihak Cuba Kelirukan Parti – Mohamad Hasan
AMPANG, 24 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan anggota parti agar sentiasa berwaspada, berhati-hati dan tidak cepat melatah dalam meneruskan hala tuju UMNO untuk terus memperkasa parti dan menjadi tsunami pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
Tegasnya, UMNO adalah parti yang mempunyai struktur sehinggakan sekalipun kalah dalam PRU ke-14 lalu, tidak pula ada berduyun-duyun ahli parti yang lari sebaliknya hanya beberapa orang pemimpin parti yang melompat.
“Inilah yang menakutkan kawan dan lawan. Kita kalah 2018 tak pula berbondong-bondong atau berduyun-duyun ahli yang lari tapi cuma dua tiga orang saja melompat maka, teruslah perkasakan kekuatan kita supaya kekuatan ini akan menjadi satu tsunami untuk kita ‘langgar’ pada PRU-15 nanti.
“Saya minta semua hati-hati kerana pihak lawan nak melihat kita keliru dan bercelaru… maka saya nasihatkan agar jangan kita cepat melatah jika kita didatangi atau membaca apa-apa jua kenyataan-kenyataan yang dibuat kerana memang mereka sengaja berbuat demikian untuk menggoyangkan struktur parti kita.
“Mereka menang PRU-14 kononnya UMNO telah ditalkinkan atau telah mati yang kemudian hasrat mereka diterjemah sebagaimana tindakan Dap. Cukup 22 Bulan kita dalam pembangkang tetapi kita tak makin lemah sebaliknya kita makin kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika majlis Perasmian Persidangan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Ampang 2021 yang berlangsung di Dewan Mufti Shuib, hari ini.
Dalam hal ini, beliau mengambil contoh bagaimana baru-baru ini tular mengatakan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal mengambil alih jawatan Pengarah Jentera Pilihan Raya di Melaka.
“Berita ini keluar selepas Datuk Seri Najib memohon untuk meminda tarikh perjalanannya ke Singapura sedangkan beliau hanya nak bersama-sama untuk berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Ingatan saya, kita tak usah pedulikan sangat apa yang orang cakap kerana apa yang penting adalah matlamat kita.”
Tekannya, bukan hanya ahli-ahli UMNO yang perlu bersatu tetapi bangsa Melayu keseluruhan juga tidak boleh berpecah sebagaimana mula-mula merdeka apabila UMNO menjadi tunjang kepada kekuatan bangsa Melayu.
“Jangan terlampau dalam ‘members centric’, tapi yang penting adalah ‘supportive centric’
“Kita nak menang kerana persepsi yang benar setelah kita kalah dalam PRU-14 kerana persepsi yang salah terhadap kita, malah kita gagal mengurus persepsi.
“Nak menang PRU jangan bersandarkan kekuatan orang kerana kita ada kekuatan sendiri. Jangan sentiasa minta belas ehsan orang… itu bukan perjuangan. Binalah kekuatan sendiri kerana UMNO adalah parti perjuangan yang berpaksikan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau. – UMNO Online