Cabaran Semasa UMNO : Pelbagai Aspek Perlu Diambil Kira, Jangan Hanya Sekadar Atas Kertas – Ismail
KUALA KRAU, 24 Okt – Pelbagai aspek perlu diambil kira sebagai jentera parti selain beberapa perkara lain yang perlu dipertimbangkan dalam usaha menghadapi cabaran semasa UMNO khususnya mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua UMNO Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata atas kertas kadangkala sesuatu perkara itu cukup baik namun jika ianya tidak dapat diterjemahkan dengan sebaik mungkin secara realiti akhirnya segala impian tidak akan terlaksana.
“Kita selalu bermain dan yakin dengan statistik…betul pilihan raya ini bermain dengan angka tapi kalau angka itu bermain di atas kertas sahaja dan angka itu tidak dapat dicapai akhirnya tidak memperoleh kemenangan.
“Kita selesa dan mengatakan sebagai contoh 54 peratus, 60 peratus, 87 peratus UMNO akan menang tetapi tidak ada tenaga yang berkualiti, kerja secara berfokus untuk menghadapi pilihan raya maka ianya akan gagal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Kuala Krau bagi tahun 2021, di sini, Sabtu.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau Datuk Rizuan Jaafar, Ketua Pemuda UMNO Negeri Mohd Farid Noor, Kepimpinan Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krau serta kepimpinan empat peringkat cawangan UMNO Bahagian Kuala Krau.
Tambah Ismail lagi, di bahagian Kuala Krai sendiri jika dilihat secara umum pelbagai perkara perlu difikirkan secara bersama oleh pelbagai peringkat lapisan jentera parti.
“Kalau sebut kekuatan parti UMNO didalam bahagian Kuala Krau… kalau dari segi cawangan memang bertambah. Kena tengok yang berkerja kuat untuk cawangan dan menghadapi pilihan raya adakah tenaga masih bertambah?
“Adakah jalinan rakyat bertambah? nak serahkan kepada pelapis… pelapis tak ada, ini hakikatnya dan berikan kesedaran. Wanita UMNO perlu cari pelapis untuk JR buat bancian sikap dari rumah ke rumah kerana Wanita UMNO adalah tulang belakang dalam menghadapi pilihan raya, maka Wanita muda harus mengambil alih sebagai pelapis dan mempunyai banyak tenaga untuk bancian sikap.
“JR kena banyak kan bilangan petugas, Wanita UMNO kena pujuk wanita muda untuk menjadi pelapis dan Puteri juga harus mencari pelapis apabila ada ahli puteri yang meningkat umur ke alam wanita, kalau tidak buat persiapan akhirnya tidak ada pelapis,” ujarnya. – UMNO Online