Pemuda UMNO Pahang Terus Dekati Anak Muda, Golongan Belia- Farid

ROMPIN, 23 Okt – Pemuda UMNO Pahang terus menyatakan  komitmen dan pelbagai langkah perlu lain yang akan dilaksanakan dalam usaha bukan sahaja menarik golongan pengundi muda malahan di kalangan undi 18 nanti.

Ketuanya Mohd Farid Mohd Nor berkata untuk itu pelbagai program yang dekat dengan mereka terus dirancang serta dilaksanakan termasuklah mengadakan perjumpaan dari hati ke hati dalam mengenalpasti kumpulan sasaran yang sebenar.

“Sebahagian data pertambahan pengundi bagi seluruh negeri Pahang difahamkan terdapat lebih 280,000 pertambahan pengundi baru dan sebahagiannya merupakan pengundi yang berumur 18 hingga 21 tahun.

“Apa pun kita tidak bolehlah bercakap secara umum strategi Pemuda UMNO Pahang untuk menangi undi  18 tahun tetapi persiapan kearah itu telah dilaksanakan dan perjumpaan dengan kumpulan-kumpulan tertentu kita laksanakan disesuaikan dengan era pandemik hari ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Lipis seterusnya melahirkan kebimbangan sejauh mana sambutan terhadap usaha kerajaan itu yang merupakan  sebahagian daripada proses demokrasi di negara ini.

“Kita melihat usaha ini cukup baik…cuma yang dibimbangi hanya kesedaran anak-anak muda ini untuk mengundi dan mungkin sebahagian besarnya langsung tidak pernah ambil tahu tentang politik.

“Malah ada juga pengundi muda yang tidak tahu siapa wakil rakyat mereka sama ada diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen di kawasan masing-masing dan  untuk itu kesedaran  perlu diberikan kepada anak-anak muda yang berumur 18 tahun  ini. Insya Allah kita sama-sama usahakan,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.