Pelbagai Program Bersama Masyarakat Setempat  Acara Rutin Sharkar Di Temerloh

KUALA LUMPUR 23 Okt – Pelbagai program bersama penduduk setempat di sekitar Temerloh adalah satu kebiasaan bagi Ketua bahagiannya, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Lanchang.

Bermula awal pagi, beliau bersama pimpinan yang lain bukan sahaja menyantuni masyarakat setempat di beberapa lokasi di kampung-kampung yang telah ditetapkan, malah turut menyantuni keluarga yang dikuarantin termasuklah di Felda Bukit Damar semalam.

“Hari ini saya memulakan perjalanan dengan walkabout ke Felda Bukit Damar bagi menghantar bakul makanan kepada penduduk yang dikuarantin akibat COVID-19. Seramai lebih 150 buah keluarga yang dikuarantin setakat hari ini. Insya Allah bukan sahaja di sini malah di beberapa kawasan lain yang terlibat pun diteruskan, insya Allah,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Jadual yang padat pada awal pagi diteruskan lagi oleh beliau ke Pusat Khidmat Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang menyantuni pengundi yang bertandang untuk menyuarakan permasalahan.

Tidak terhenti di situ, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Pahang meneruskan lagi khidmatnya di Pejabat UMNO bahagian  Temerloh pula menyantuni masyarakat sekitar.

“ruang yang ada digunakan untuk bertemu pengundi sekitar Mentakab dan Temerloh. Kesempatan ini juga saya dapat bertemu dengan Jalinan Rakyat (JR) DUN  Lanchang bagi menyampaikan senarai kajian sikap kepada ketua PDM.

“Selain itu, turut diadakan mesyuarat singkat dengan beberapa Jabatan Kerajaan bagi menyelesaikan masalah-masalah berkaitan dengan penduduk Parlimen Temerloh. Insya Allah khidmat seumapa ini adalah rutin yang akan berterusan,” ujarnya.- UMNO Online