HSR : Jangan Ulangi Kesilapan lalu, Malaysia Perlukan Prasarana Rel berkelajuan Tinggi  – Khaled

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sekali lagi menegaskan pandangannya dalam era penyambungan pantas, Malaysia memerlukan  prasarana rel berkelajuan tinggi untuk dibina dan wajar dilaksanakan  samaada Singapura-KL atau KL-Bangkok.

Menurut beliau negara ini memerlukan perancang ekonomi yang boleh membongkar kekuatan sebenar Malaysia melalui keterhubungan serantau dan plan ekonomi Malaysia tidak lagi boleh ‘inward looking’.

“Kerajaan dikatakan sedang mempertimbangkan pelaksanaan projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) tetapi hanya sehingga Johor Bahru.  Pastinya projek yang tidak menghubungkan metropolis Kuala Lumpur dengan Singapura tidak akan berdaya maju.

“Johor Bahru bukan ‘an economic powerhouse’ seperti Singapura. Sewaktu pandemik, Johor Bahru berada dalam kedudukan pegun dalam pertumbuhan dan keberdayaan, tanpa pemain, pelabur dan pelancong dari Singapura. Jadi saya berharap Kerajaan tidak membuang masa dan wang dengan cadangan yang tidak berdaya maju. Perancang ekonomi kita tidak mempunyai ‘an overreaching strategy’ dalam melaksanakan projek berimpak tinggi, rentas negara dan berkehasilan luar biasa.

“Sedangkan dalam pelbagai forum dan rundingan perdagangan antarabangsa, Malaysia lah yang berdegar-degar dengan retorik integrasi ekonomi serantau melalui keterhubungan perdagangan dan mobiliti pengguna dan pekerja. Namun untuk menghubungkan Singapura dengan Kuala Lumpur, dua metropolis yang paling dinamik di Tenggara Asia pun kita tidak boleh melakukanya,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tegas Khaled lagi, alasan kos dan kemampuan Kerajaan adalah alasan mereka yang gagal berimaginasi kerana semasa dibangunkan KLIA, Putrajaya dan Lebuhraya Utara Selatan dahulu, Malaysia bukan negara kaya namun ianya dilaksanakan kerana perancang ekonomi waktu itu mempunyai visi ekonomi mendahului masa.

“Menghidupkan HSR tanpa Singapura hanya satu pembaziran dan tidak mempunyai nilai ekonomi. Singapura adalah kuasa ekonomi Asia yang mampu menawarkan limpahan kemakmuran ekonomi yang luar biasa kepada Malaysia. Yang menjadi halangan ialah keterhubungan yang pantas, selamat, lestari dan murah.

“Saya berharap Perdana Menteri  tidak mengulangi pelbagai kesilapan PH dan PN. Saya yakin Perdana Menteri berkehendakkan pemulihan ekonomi Malaysia yang radikal dengan pelaksanaan projek berdaya saing dan berkehasilan berganda. Jika tidak, Malaysia akan terus menjadi negara dunia ketiga yang sedikit lebih baik dan membangun dari negara ketiga yang lain,” ujarnya.- UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.