Semangat UMNO Tak Pernah Diketepikan, Suara Akar Umbi Penentu Kerjasama Parti – Ismail

PAGOH, 22 Okt – “Semangat parti yang kita mahukan jangan ada kepentingan atau bila dapat habuan kita tolak atau ketepikan parti.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed yang tetap dengan pendirian kekal bersama parti demi membawa perjuangan kepada agama, bangsa dan negara.

Menurut beliau, meskipun ditawarkan dengan pelbagai habuan namun Ismail sedar bahawa tindakan tersebut adalah demi kepentingan individu tertentu.

“Kita sudah lama berperang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bila bekas ketua bahagian keluar parti dan dia menghina UMNO kita tidak boleh terima.

“Bila dia jadi kerajaan Perikatan Nasional (PN) enam bulan lepas itu baru mencari kita itu pun ketika hendak dekat dengan Pilihan Raya Negeri Sabah itu pun ketika dia sudah hendak merundum.

“Kalau anda pernah dengar audio yang Tan Sri Muhyiddin Yassin umpan orang UMNO hendak bagi projek tawaran itu sama sahaja yang hendak diberikan kepada saya, sehinggakan saya terfikir saya ini siapa sehingga hendak ditawarkan macam-macam tapi saya diam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan-cawangan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh 2021 oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan, baru-baru ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamal dan ketua-ketua UMNO bahagian negeri.

Ismail berkata selain diberikan tawaran, Muhyiddin juga menyuarakan untuk mengadakan persefahaman dengan UMNO namun beliau menyerahkan keputusan tersebut kepada akar umbi.

“Ketua Bahagian tidak boleh buat keputusan kerana sejak kalah segala kata putus saya serahkan pada ketua-ketua cawangan.

“Saya tanya kepada mereka Pakatan Harapan (PH) sudah runtuh adakah kita mahu sokong PN tapi seluruh dewan kata tidak mahu.

“Sekali lagi apabila dia hendak adakan kerjasama dengan UMNO Bahagian, bila saya maklumkan mereka tetap dengan keputusan yang sama,” tegas beliau. –UMNO Online