Ahmad Zahid Sekali Lagi Tegaskan ‘No PPBM’, Keputusan Sejak Perhimpunan Agung UMNO

BUKIT KATIL, 22 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan bahawa parti tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut beliau, keputusan tersebut adalah muktamad berdasarkan keputusan yang dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari.

“Berkenaan Bersatu kita telah membuat keputusan tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka.

“Noktah tidak lambat kerana sejak dari PAU lagi kita buat keputusan itu, kita telah memuktamadkan tidak pernah bekerjasama dengan Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada perjumpaan kepimpinan UMNO Bahagian di Pejabat UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, malam tadi.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta kepimpinan negeri.

Sementara itu Ahmad Zahid yang Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap agar jentera parti untuk tidak mengambil mudah dengan segala persiapan yang dilakukan sebelum ini.

“Biarpun PRN ini merupakan suatu pilihan raya umum di peringkat negeri tetapi jentera harus bersiap sedia daripada semua parti yang menawarkan diri datang dari seluruh negara.

“Jadi dalam hal ini UMNO/BN akan memobilisasikan seluruh jentera di seluruh negara namun pendekatan yang harus diatikulasikan bukan dibuat secara konvensional bukan dibuat secara sebarangan.

“Maknanya perincian harus dibuat agar pengundi dapat menerima hidangan baharu sekurang-kurangnya harapan baharu kepada UMNO/BN,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.