UMNO Pagoh Teguh Kerana Kekuatan Akar Umbi – Samsolbari

PAGOH, 21 Okt – UMNO Pagoh mempunyai kekuatan akar umbi yang teguh kepada perjuangan dan prinsip parti, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Menurut beliau, kekuatan tersebut merupakan penggerak kepada parti meskipun teruji dengan pelbagai cabaran namun ianya dilalui sebaik mungkin berasaskan kepada penyatuan dalam kalangan ahli parti.

“Kekuatan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed datang daripada kepimpinan UMNO cawangan yang mendukung beliau selama ini.

“Ini adalah satu perkara yang tidak boleh dilaksanakan oleh semua pihak tapi dengan kekuatan daripada 104 cawangan dalam Parlimen Pagoh ini ianya berjaya.

“Anda semua adalah lebih kuat daripada mana-mana parti yang ada dalam bahagian Pagoh ini apatah lagi dari segi keahliannya 15,912 orang. Kerana adanya anda semua daripada 104 cawangan maka UMNO berdenyut kerananya di setiap peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan-cawangan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh 2021 yang dihadiri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan; Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed dan ketua-ketua UMNO bahagian negeri.

Sementara itu beliau turut mengingatkan bahawa segala gerak kerja yang dilakukan ini bukan semata sebagai memenuhi perkhidmatan kepada rakyat.

“Berkhidmat pun berkhidmat juga tetapi kita ini namanya parti UMNO jangan bertindak seperti badan bukan kerajaan (NGO) semata-mata kerana kita ini adalah parti siasah UMNO objektif kita adalah untuk menang.

“Maka dengan ini kita sudah memasuki fasa pilihan raya jangan sia-siakan kerja anda menyantuni rakyat di bawah sana,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.