Rakyat Malaysia Tinggi Nilai Budi, Kemanusiaan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 20 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa terharu beliau melihat video yang memaparkan seorang penghantar makanan membantu orang kelainan upaya (OKU) penglihatan melintas jalan.
Katanya, meskipun video tersebut hanya berdurasi 27 saat namun ianya tetap memberikan pengertian yang amat mendalam kepada diri beliau.
“Seronok hati melihat rakaman video ini walaupun singkat tetapi membuktikan sebahagian besar rakyat Malaysia masih tinggi nilai budinya.
“Sikap hormat menghormati dan bantu membantu tetap mekar dalam sanubari ramai dalam kalangan kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi beliau percaya bahawa Rukun Negara kelima masih menjadi intipati kehidupan rakyat.
“Masyarakat Malaysia yang harmoni dan tinggi nilai kemanusiaan, saling mengambil berat dan prihatin. Negara perlukan lebih banyak adegan seperti ini sebagai galakan inilah erti sebenar rakyat Malaysia.
“Kesopanan dan kesusilaan Rukun Negara kelima masih menjadi intipati kehidupan masyarakatnya. Terima kasih yang merakam video ini dan juga penghantar makanan kerana anda membuktikannya,” ujar beliau. – UMNO Online