Bincang Bajet 22 Buka Ruang Lontarkan Keluh-kesah Rakyat Pelbagai Peringkat – Hisham Suhaily

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Exco Wanita UMNO, Hisham Suhaily Othman berkata peluang secara bersemuka bersama Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah bukan sahaja membuka ruang untuk melontarkan cadangan berkaitan golongan wanita malahan untuk kepentingan Langkawi itu sendiri.

Menerusi kenyataan ringkas di Facebook beliau memberitahu diskusi bersama Sekretariat Profesional Wanita UMNO yang dipengerusikan Datuk Mastura Yazid dan Women Leadership Foundation Malaysia (WLF) serta Kementerian Kewangan MOF memberi ruang dan peluang yang cukup luas untuk masing-masing memberikan cadangan.

“Sudah tentulah saya menyentuh mengenai ‘Memulih Kehidupan’ di Langkawi. Antara cadangan saya ialah bantuan kerajaan yang lebih komprehensif kepada Syarikat Pengendali Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan memandangkan golongan ini yang paling terkesan.

“Saya mencadangkan bantuan kepada pengusaha bas yang terpaksa memulangkan bas mereka kepada syarikat kredit kerana tiada moratorium (bank sahaja yang menyediakan moratorium), setelah mereka ini menanggung hutang bertapuk yang tak tertanggung lagi,” kata Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu lagi.

Katanya lagi, perbincangan tersebut juga adalah satu platform yang cukup bermanfaat dalam usaha menyalurkan secara terus keluh-kesah rakyat di akar umbi untuk perhatian kerajaan.

“Petang semalam saya dan rakan-rakan turut serta dalam forum perkongsian pandangan penyediaan Bajet Tahun 2022 Negara anjuran Sekretariat Profesional Wanita UMNO Malaysia di Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Turut hadir bersama ialah Women Leadership Foundation Malaysia (WLF).

“Forum ini membawa suara rakyat khususnya demi kepentingan wanita di dalam penyediaan Bajet 22 oleh Kementerian Kewangan,” ujarnya. – UMNO Online

 

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.