Anggota Bomba Meninggal Dalam Operasi Banjir: Jasa Dan Keberanian Allahyarham Sentiasa Dalam Ingatan

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Berita tentang kematian anggota bomba PBK II (KUP) Mohd Diya Che Jusoh di Hospital Melaka awal pagi ini cukup mendukacitakan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, inilah suatu kehilangan yang sangat menyedihkannya dan seluruh rakyat Malaysia apabila Allahyarham terkorban selepas cuba membantu mangsa banjir.

“Terkorban ketika menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara. Jasa dan keberanian Allahyarham sentiasa dalam ingatan.

“Saya mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan yang soleh oleh Allah S.W.T.

“Kepada ahli keluarga Allahyarham saya ucapkan takziah dan semoga mereka tabah serta cekal menghadapi kehilangan itu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Ulas Ahmad Zahid lagi, ucapan takziah juga dizahirkan kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di atas kehilangan salah seorang anggota mereka.

“Sesungguhnya Allahyarham PBK II (KUP) Mohd Diya Bin Che Jusoh dan setiap warga bomba Malaysia adalah wira kepada negara.

“Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, tempatkanlah arwah di kalangan orang-orang yang beriman“,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.