Zahid Tidak Lakukan Pecah Amanah – Peguam

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak melakukan pecah amanah selepas memindahkan dana Yayasan Akalbudi ke akaun Tetuan Lewis & Co.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah demikian ketika hujahan di akhir kes pendakwaan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata, tiada kes pecah amanah kerana wang tersebut masih di bawah kawalan yayasan berkenaan.

Ia yang mana katanya, Tetuan Lewis & Co merupakan pemegang amanah yayasan tersebut.

“Pihak pendakwaan bukan sahaja gagal membuktikan elemen pertuduhan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid melakukan pecah amanah, malah pertuduhan juga tidak menyentuh isu pembelian saham atau hotel di Bali.

“Maka, bekas Timbalan Perdana Menteri ini tidak perlu membela diri terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Beliau berkata, amat jelas bahawa pertuduhan oleh pendakwaan terhadap anak guamnya ialah penyalahgunaan proses.

Sebelum ini, pihak pendakwaan menghujahkan bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengarahkan sebahagian daripada wang deposit tetap berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi dikeluarkan untuk membeli saham bagi membolehkan anak perempuannya membeli sebuah butik hotel di Bali, Indonesia.

Menurutnya, tertuduh sepatutnya menggunakan dana tersebut antaranya untuk membasmi kemiskinan dan menaikkan kebajikan fakir miskin.

Namun katanya, Ahmad Zahid memberi arahan khusus supaya semua wang daripada tujuh akaun deposit tetap Akalbudi dikeluarkan sebelum memindahkannya menerusi cek bank kepada Tetuan Lewis & Co.

“Dana dalam akaun yayasan digunakan untuk keuntungan peribadinya, sedangkan ia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan perkara itu,” katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Prosiding bersambung 22 November depan.