Konsep Penyatuan Oleh Rasulullah Ajar Manusia Muafakat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Konsep penyatuan yang dibawa Rasullullah SAW mengajar setiap manusia untuk bermuafakat tanpa mengira latar belakang, demi mewujudkan satu Keluarga Malaysia yang harmoni, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penyatuan yang diasaskan Rasullullah SAW merentasi kabilah, agama serta fahaman.

“Salam Maulidur Rasul 1443H/2021M kepada semua umat Islam dan semoga kita sentiasa beramal mengikut Sunnah Baginda,” katanya dalam catatan di Facebook.

Ismail Sabri berkata meneladani Sunnah Rasulullah SAW adalah salah satu cara membuktikan cinta kepada Baginda.

Katanya sewaktu berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW bukan sahaja berjaya menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar melalui Piagam Madinah malah bersama kaum Yahudi. – BERNAMA