Parti Inklusif Sentiasa Jadi Pilihan Termasuk Bekas Ahli, Sedar Hanya UMNO Bela Rakyat – Awang

KUALA PENYU, 18 Okt – UMNO merupakan sebuah parti yang inklusif, bukan eksklusif kerana sentiasa mengamalkan membuka pintu kepada semua bekas pemimpin dan ahli serta invidu yang ingin menyertai perjuangan parti itu.

Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, Datuk Awang Lakat berkata dari awal lagi UMNO Sabah mengambil pendirian untuk menerima sesiapa sahaja individu yang berminat untuk menyertai perjuangan parti tersebut.

“Kita sentiasa mengamalkan konsep terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai perjuangan parti kita, bagaimana pun ianya perlu melalui proses seperti biasa mengisi borang keahlian parti dan dikemukakan kepada cawangan, bahagian dan ibu pejabat parti untuk kelulusan” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sekumpulan 35 orang penduduk di kampung Tenambak Kuala Penyu yang diketuai oleh Baki Saban menyerahkan borang kemasukan ahli UMNO di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Siri Aminah Aching; Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort, Abdul Rahman Taib; Naib Ketua UMNO Bahagian, Awang Damit Jion dan Ketua Daerah Mengundi Tenambak Kimloo Jungin.

Menurut Awang yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort walaupun UMNO Sabah sudah pulih namun penyertaan semua pemimpin dan ahli akan menjadi jaminan kepada UMNO untuk bertambah kuat.
“Kita tidak menolak kemungkinan akan menerima kemasukan lebih ramai lagi pemimpin dari pembangkang atau ahli parti lain menyertai UMNO.”

Awang berkata, sebelum ini walaupun ramai yang menganggap UMNO sudah tidak relevan tetapi parti ini tetap menjadi rebutan ramai.

“Bagi saya ia memberikan indikasi bahawa UMNO mempunyai nilai harga yang mahal walaupun itu cuma persepsi. Apa pun UMNO tidak boleh sombong untuk mendengar dan membetulkan diri dengan teguran daripada akar umbi.

“Dalam politik, perlu ada strategi dan rancangan sekiranya hendak menang, termasuk membuka pintu kepada bekas ahli UMNO yang ingin kembali bersama parti,” katanya.

Sementara itu Baki yang mengetuai kumpulan tersebut berkata keputusan beliau bersama-sama rakan-rakan yang lain menyertai UMNO dibuat kerana yakin kepada kesungguhan UMNO untuk membela rakyat.

“Sejak beberapa tahun lepas, kita melihat UMNO konsisten membantu rakyat tidak kira parti ini di pembangkang atau pun kerajaan usaha membantu bukan sahaja ahli tapi rakyat keseluruhanya dilaksanakan seperti biasa,” jelas Baki.

Sebaik majlis tersebut selasai Awang bersama rombongan meneruskan program ziarah ke beberapa buah penduduk yang ditimpa musibah dan sakit di kampung Tenembak, Rumah Murah Kampung Kenangka dan turut menyampaikan bantuan bakul makanan di Pusat Daerah Mengundi Palu-Palu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.