Tuduhan Kepada PM Bersifat Dangkal, Agenda Tutup Keprihatinan UMNO Bantu Rakyat – Mohd Noor

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad berpandangan tuduhan yang dilemparkan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bersifat dangkal.

Katanya, mereka ini sengaja mengalihkan isu kerana menyedari Naib Presiden UMNO itu sedang sebaik mungkin untuk membantu rakyat di samping memperbaiki semula negara.

“Biasalah keadaan pembangkang ini mereka memang tidak akan senang apa yang dilakukan Perdana Menteri dari UMNO untuk kebaikan negara.

“Mereka hanya mencari jalan sahaja yang mereka boleh jadikan isu untuk mempengaruhi rakyat supaya membenci,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon ekoran tular infografik ‘100 Hari Perdana Menteri: Kad laporan KPI Ahmad Maslan dibebaskan daripada pendakwaan, Rosmah dapat balik pasport untuk melancong ke Singapura dan Zahid dibenarkan untuk terbang ke Jerman dan kini Najib memohon untuk diberi semula pasportnya’ baru-baru ini.

Mohd Nor yang Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan berkata, pihak pembangkang sebaik mungkin ingin menutup segala usaha Ismail Sabri yang dilihat fokus dan prihatin membantu rakyat.

“Mereka tidak akan mengambil kisah tentang kebaikan yang dilaksanakan untuk kepentingan rakyat kerana mereka ini tidak ada modal dan akan cari apa sahaja.

“Selepas ini mungkin mereka akan cari lagi benda-benda lain katakanlah kalau mahkamah buat keputusan dan membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mereka akan kata juga kerana Perdana Menteri ketika ini adalah daripada UMNO,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.