Skuad Elit PDRM Ditubuh Elak Rakyat Jadi Tokan Dadah Tapi PH Bubar – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kekecewaan beliau dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir negara apabila bertindak membubarkan tiga skuad elit Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya jika skuad elit itu masih wujud pasti negara dapat membasmi sindiket dadah sekali gus mengelakkan anggota masyarakat daripada dipergunakan menjadi ‘tokan’ akibat keinginan material atau atas desakan hidup.

“Pilu hati melihat rakaman video seorang ibu tunggal berusia 55 tahun menangis dan merintih selepas dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah syabu seberat 113.9 gram.

“Bukan mahu mempertikaikan keputusan mahkamah, tetapi membaca berita itu mengamit kekecewaan terhadap tindakan kerajaan 22 bulan membubarkan tiga skuad elit PDRM selepas mengalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang ditubuhkan semasa saya menteri dalam negeri pada tahun 2014,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi BN itu lagi tiga skuad elit tersebut ditubuhkan untuk melawan dan melumpuhkan habis-habisan jenayah terancang di Malaysia dengan memburu serta menangkap ‘jerung-jerung’ yang menjadi dalang berbanding menahan ‘ikan bilis’.

“Khususnya STING yang ditubuhkan untuk memburu ketua sindiket dadah serta melawan aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa dan tempatan.

“Alasan menteri dalam negeri kerajaan 22 bulan membubarkan unit elit polis ketika itu bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan, mengelak pertindihan fungsi dalam jabatan dan mengelak rasa kurang harmoni antara anggota,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Zahid alasan-alasan pembubaran itu juga dibuat tanpa mengambil kira indeks jenayah membabitkan aktiviti kumpulan jenayah terancang turun mendadak sejak penubuhan skuad elit terbabit.

“Keputusan itu tanpa mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan mereka dan fungsi pasukan polis semakin bertambah.

“Tanpa mengambil kira kegerunan dan ketakutan kumpulan jenayah terancang terhadap ketiga-tiga pasukan elit polis itu.

“Seperti juga pernah saya katakan bukan kita menafikan sumbangan dan kemampuan pegawai serta anggota polis lain, namun skuad ini untuk memperkasakan lagi usaha melawan jenayah,” tegas beliau.

Katanya skuad ini dianggap sebagai ‘doktor pakar’ dalam bidang tugas mereka dalam menentang jenayah kerana terdiri daripada yang terlatih dan terpilih dalam pasukan polis.

“Tetapi itulah antara yang telah berlaku selepas kerajaan BN ditewaskan angkara fitnah dan tipu daya. Insya-Allah apabila BN menang PRU15 dan kembali sebagai teras pentadbiran kerajaan kita tubuhkan semula unit elit ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.